23 Disember 2012

Masyarakat perlu lebih peka isu keselamatan

KOTA TINGGI - Masyarakat seharusnya lebih peka terutama dalam isu yang berkaitan dengan keselamatan dan tidak boleh meletakkan semua beban kepada anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) semata-mata. Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said berkata, masyarakat jangan menganggap tanggungjawab menjaga keselamatan kerja orang lain, sebaliknya mesti menetapkan ia sebagai tanggungjawab bersama. “Seperti penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) ini, kesemua ahli terdiri daripada mereka yang sukarela dan tiada paksaan. Bagaimanapun, sebagai ahli SRS peranannya adalah menjaga sesebuah kawasan. “Kita berharap ahli SRS tidak akan salah guna kuasa yang diberikan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program pelancaran Jom Ronda peringkat daerah Kota Tinggi di pos kawalan SRS Felda Tunggal, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, wakil JPNIN; Rozaidi Ekhwan, wakil Ketua Polis Daerah Kota Tinggi; Asisten Superitendan Mohd Saad Ismail, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Tinggi; Rahmat Maulud, Pegawai Rela Daerah Kota Tinggi; Jasma Khamis dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Felda Tunggal, Hassan Ismail. Dalam pada itu, Azalina yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Pengerang turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menggadaikan masa depan negara dengan memberi sokongan kepada pihak yang salah. “Oleh itu jangan kita menggadai masa depan kita dengan memilih pihak yang salah. Sekali ia tergadai, beratus tahun kita tidak akan berhenti menangis dan menyesali keputusan yang dipilih,” katanya. WARTAWAN SINAR HARIAN 21 Disember 2012
Azalina (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan peralatan kepada ahli SRS sempena program Jom Ronda di Felda Tunggal.