23 Disember 2012

Muhyiddin cadang tubuh Yayasan Pendidikan Pengerang

KOTA TINGGI - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan penubuhan Yayasan Pendidikan Pengerang bagi menjaga kebajikan dan membiayai pendidikan anak-anak Pengerang. Timbalan Perdana Menteri berkata ia merupakan satu penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan penduduk setempat sehingga membolehkan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang melibatkan pelaburan keseluruhan RM170 bilion itu dilaksanakan. "Saya mencadangkan Yayasan Pendidikan Pengerang ini ditubuhkan dengan dana disumbangkan oleh Petronas dan Dialog Group Bhd (Dialog) serta pelabur-pelabur lain. "Ia demi masa depan anak-anak Pengerang. Saya harap ia dapat diputuskan secepat mungkin oleh syarikat Petronas dan syarikat pelaburan lain," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas mendengar taklimat PIPC di tapak penempatan pemindahan penduduk Bayu Permai Plot A, Pengerang di sini. Taklimat turut dihadiri oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman dan Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Berhad (JPDC) Mohd Yazid Jaafar. Muhyiddin berharap menerusi yayasan itu juga Petronas dan Dialog dapat memberikan biasiswa kepada anak-anak Pengerang dengan dana diuruskan oleh pemegang amanah yang layak. Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan perkembangan projek berkenaan yang melibatkan pembangunan tanah seluas 8,800 hektar. Katanya, selain pelbagai kemudahan lain seperti perumahan dan sekolah, sebanyak RM1 bilion juga diperlukan untuk penyediaan bekalan air mentah bagi keperluan industri di PIPC. Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengambil kesempatan dengan mempolitikkan projek berkenaan dan menjadikannya sebagai kempen pilihan raya. "Projek ini memberi impak ekonomi bukan sahaja kepada Johor untuk muncul sebagi hub minyak dan gas di rantau ini tetapi juga memberi kesan kepada ekonomi negara," katanya. Dalam perkembangan lain Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian akan meneliti resolusi 11 perkara yang dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Guru-Guru Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) untuk membela nasib pendidik dan pesara guru. Beliau meminta Kongres untuk menghantar resolusi berkenaan kepada kementerian secara rasmi. Muhyiddin mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai resolusi yang diputuskan pada mesyuarat Exco Khas Kongres, Sabtu lalu yang antara lain mencadangkan penubuhan bank guru selain penubuhan organisasi seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). - Bernama 18 Disember 2012