23 Disember 2012

'Bagaikan mati hidup semula'

KOTA TINGGI - “Saya bagaikan mati hidup semula dan amat bersyukur kerana diselamatkan bapa salah seorang rakan yang turut berkelah di situ,” kata Mohd Nor Hafiz Nordin, 17. Mohd Nor Hafiz adalah rakan Mohamad Alif Nurrudin Rosli, 18, mangsa lemas di Pantai Batu Layar, dekat sini. Menurutnya, dia bersyukur kerana terselamat dalam tragedi itu, namun pada masa sama turut berasa sedih kerana kehilangan seorang sahabat yang rapat sejak dari kecil. “Ketika sedang asyik mandi manda, tiba-tiba sahaja ombak besar telah menarik mereka ke tengah laut dan pada ketika itu, saya melihat Mohamad Alif sudah terkapai-kapai dibawa ombak dan menjerit meminta pertolongan. “Melihatkan keadaan itu, tanpa memikirkan keselamatan diri, saya terus bertindak berenang mendapatkan mangsa, namun gagal kerana turut tenggelam berikutan tidak berdaya mendukung mangsa yang berpaut di bahu saya. “Saya kesal kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa,” katanya. Sementara itu, Anas Mubarak Yuseni, 17, berkata, dia yang cuba untuk menyelamatkan mangsa turut terkapai-kapai kelemasan berikutan mengalami kekejangan otot kaki. “Alhamdulillah saya bersyukur kerana orang ramai sempat menyelamatkan saya ketika itu,” katanya. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di kampung halaman ayahnya di Parit Sulong, Batu Pahat, semalam. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Dalam kejadian 3 petang, kelmarin, Mohamad Alif mati lemas ketika mandi manda bersama lima rakannya di pantai berkenaan. Mayatnya ditemui kira-kira 15 minit selepas dia kelihatan terkapai-kapai seterusnya di bawa arus ombak ke tengah laut. Cubaan dua rakannya Mohd Nor Hafiz dan Anas Mubarak yang mahu membantu menyelamatkan mangsa menemui kegagalan. Kedua-dua mereka turut sama hampir lemas, namun berjaya diselamatkan orang ramai yang berada di kawasan tersebut selepas dua rakan lain, Mohd Izzad Mohd Zawawi, 14, dan Mohd Iqbal Mohd Yuseni, 14, bertindak meminta pertolongan. WARTAWAN SINAR HARIAN 22 Disember 2012
Anas Mubarak Yuseni
Jenazah mangsa yang telah siap dikafankan dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Parit Sulong, Batu Pahat malam semalam