03 Februari 2013

Pesakit lari dari hospital

KOTA TINGGI – Tindakan seorang pesakit lelaki berusia 20an dari wad lelaki Hospital Kota Tinggi (HKT), yang cuba melarikan diri untuk mengelakkan dirinya menerima rawatan gagal apabila berjaya ditahan semula, semalam. Pengarah HKT, Dr Maslina Yusuf berkata, lelaki warga Indonesia yang dipercayai mengalami masalah mental itu dimasukkan ke HKT kelmarin kerana masalah kesihatan. Menurutnya, lelaki terbabit bertindak agresif sebelum cuba melarikan diri kira-kira jam 9 pagi, namun tindakan lelaki itu dapat dikawal apabila dia berjaya ditahan semula. “Ketika kakitangan HKT hendak memberi rawatan susulan, lelaki itu cuba melarikan diri. Dia dipercayai mengalami gangguan mental dan mahu mengelak daripada menerima rawatan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi untuk mengesahkan kejadian itu di sini, semalam. Difahamkan, lelaki terbabit cuba melarikan diri dengan cara melompat dari katilnya lalu memecahkan cermin dalam wad itu sebelum mencapai besi penyangkut ubat drip sepanjang dua meter untuk dijadikan senjata. Lelaki itu yang tidak berpakaian dan hanya berseluar jeans turut menjadikan besi yang bertangkai itu sebagai senjatanya dan mengacu kepada sesiapa yang cuba mengekorinya. Bagaimanapun, cubaan lelaki terbabit yang melarikan diri melalui pintu belakang HKT sejauh kira-kira 300 meter sehingga ke persimpangan Jalan Abdul Azizi, di sini, berjaya disekat oleh beberapa kakitangan HKT dan orang ramai selepas berlaku pergelutan.
Lelaki yang mengalami masalah mental berjaya ditahan semula oleh kakitangan HKT dan orang ramai. WARTAWAN SINAR HARIAN 2 Februari 2013 http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/pesakit-lari-dari-hospital-1.127567