21 Jun 2013

penyelamat yg malang.. tragedi 15/6/2013

LEDANG 15 Jun - Jika sebelum ini sebuah ambulans Hospital Pakar Putra Batu Pahat yang membawa pesakit jantung terlibat dalam kemalangan di Jalan Bakri, Muar pada Sabtu lalu, kali ini sebuah lagi ambulans yang membawa mangsa kemalangan terlibat nahas. Kemalangan berlaku di Parit Turun, Bukit Gambir dekat sini kira-kira pukul 7.30 malam tadi. Dalam kejadian itu, ambulans Klinik Kesihatan Grisek yang membawa mangsa kemalangan seorang wanita berusia 27 tahun dirempuh sebuah jengkaut yang datang dari arah bertentangan. Sebelum itu, wanita berkenaan terlibat dalam kemalangan di Parit Raja, Grisek pada pukul 7.15 malam mengakibatkan ibunya, Rosnah Abd. Rahman, 51, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kereta. Ambulans berkenaan dalam perjalanan dari Grisek menuju ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk menghantar wanita terbabit yang patah kaki kiri akibat kemalangan itu. Bagaimanapun setibanya di tempat kejadian, jentera berat dari arah Muar menghala ke Bukit Gambir dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan kanan jalan lalu merempuh ambulans tersebut. Pemandu ambulans berkenaan, Azlan Ab. Rahman, 32, berkata, dia terkejut apabila melihat jengkaut yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an memasuki laluannya. "Saya sempat mengelak tapi jentera itu merempuh bahagian kiri ambulans sebelum terbabas melanggar tiang telefon di tepi jalan. Nasib baik pembantu perubatan duduk di bahagian belakang bersama pesakit. "Kemungkinan pemandu jentera itu diserang darah tinggi membuatkannya tidak dapat mengawal pemanduan. Sebaik pelanggaran berlaku, pemandu terbabit pitam dan dia kemudian bersama mangsa dihantar ke HPSF oleh ambulans lain dari Tangkak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE