17 Februari 2013

Van bawa pendatang ditahan

Kota Tinggi: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengerang berjaya mematahkan cubaan 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyeludup keluar dari negara ini di pesisir pantai berhampiran sebuah kebun sawit Bandar Penawar dekat sini, Rabu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, semua pendatang asing ditahan terdiri daripada 33 lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 41 tahun dipercayai dalam perjalanan pulang ke Pulau Batam, Indonesia. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan lima anggota PGM menahan sebuah van Mercedes bernombor pendaftaran negara jiran dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang sawit berkenaan. Dalam serbuan itu, katanya, seramai sembilan orang cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap dan pemeriksaan terhadap van itu membawa kepada penemuan 25 orang yang bersesak termasuk seorang wanita. "Malangnya, dua lelaki dipercayai tekong dan pemandu van berkenaan berjaya meloloskan diri ke dalam hutan berhampiran dan kami gagal menjejaki mereka. "Pemeriksaan mendapati semua ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan selanjutnya dan dokumentasi," katanya. Berikutan itu, Mohd Nor menasihatkan orang ramai supaya jangan menjadi pelindung atau bersubahat dengan aktiviti penyeludupan manusia kerana perbuatan itu mengkhianati negara. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002) kerana keluar dari negara ini melalui pangkalan tidak diwartakan dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. Difahamkan kawasan itu menjadi lokasi persembunyian sementara bagi kesemua PATI sebelum dibawa keluar ke negara jiran menggunakan bot yang menjemput mereka. sumber... http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Vanbawapendatangditahan/MA/Article/index_html