17 Februari 2013

Remaja maut motosikal tembung kereta Proton

KOTA TINGGI - Seorang remaja maut apabila motosikal EX 5 yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga di Kilometer 51 Jalan Sungai Rengit Rengit–Kota Tinggi malam tadi. Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Md Nor Rasid berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Saga yang dinaiki sebuah keluarga dari Felda Air Tawar 4. Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 10.05 malam itu, Mohd Fitri Zamali, 19, yang tinggal di Kampung Sungai Sembilang maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala. “Motosikal terbabit dari arah Kota Tinggi telah memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar Kereta Proton Saga yang datang dari arah Sungai Rengit. “Mangsa meninggal di tempat kejadian manakala pemandu dan tiga penumpang kereta Proton Saga dikejarkan ke HKT untuk menerima rawatan lanjut,” katanya. Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan manakala jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Sembilang pagi tadi. sumber.. http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/remaja-maut-motosikal-tembung-kereta-proton-1.132040