05 Februari 2013

MB: Johor kubu BN, pembangkang hanya mimpi

MUAR – Pembangkang diibaratkan seperti bermimpi di siang hari apabila dilihat terlalu yakin mampu menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Johor masih menjadi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana sokongan rakyat terhadap parti itu masih lagi kukuh serta tidak pernah goyah walaupun cuba digugat pihak tertentu. “Seperti 50 tahun yang lalu, anak-anak muda Johor tetap menyokong BN. Malah, sokongan mereka semakin meningkat sejak kebelakangan ini. “Sebab itu kita kekal sebagai kubu kuat parti. Keyakinan pembangkang itu sebenarnya berasaskan kepada adanya ‘orang lain’ yang menyokong parti mereka,” katanya ketika berucap pada pelancaran Pemuda BN Pilihan Orang Muda Peringkat Negeri Johor di Stadium Sultan Ibrahim di sini, kelmarin. Turut hadir, Naib Ketua Pemuda Umno merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim; Naib Ketua Puteri Umno, Shahanim Mohd. Yusof; Ketua Pemuda Umno negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ketua Puteri Umno Johor, Nurshilda Ibrahim. Abdul Ghani dalam ucapannya turut mengajak anak-anak muda mempertahankan Johor sebagai kubu kuat BN pada PRU13 kerana kerajaan sudah banyak berjasa dengan membawa kesejahteraan dan pembangunan. “Kita mahu mengembalikan rekod Johor menang 100 peratus di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. “Dengan sokongan anak muda, kita yakin matlamat ini dapat kita kecapi pada pilihan raya umum kali ini,” katanya. Beliau berkata, jentera BN perlu bekerja keras kerana pihak pembangkang kini sentiasa berusaha meningkatkan emosi dan memainkan perasaan benci dan marah pengundi supaya menolak kerajaan sedia ada. Sementara itu, Shahanim mengingatkan rakyat di negeri ini supaya mengambil iktibar dengan kejatuhan kerajaan BN di negerinya iaitu Kedah kerana sepanjang lima tahun memerintah hanya janji dan pembohongan dilakukan. Shahanim yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Sungai Petani berkata, sudah 66 tahun Umno dan BN berjasa malah, sudah tentu rakyat perlu mempunyai rasa kasih sayang serta terima kasih kerana terlalu banyak jasa sudah dicurahkan. WARTAWAN SINAR HARIAN 5 Februari 2013 http://www.sinarharian.com.my/politik/mb-johor-kubu-bn-pembangkang-hanya-mimpi-1.128406
Datuk Abdul Ghani Othman