04 Februari 2013

Bekas Pengarah JSJ ramal keadaan aman jika PR takluk Putrajaya

KUALA LUMPUR, 3 Feb — Bekas pemimpin tertinggi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Datuk Fauzi Shaari meramalkan keadaan aman dan tidak berlaku kekecohan jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya menakluk Putrajaya selepas pilihan raya ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi. Keyakinan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) tersebut dinyatakan dengan membuat perbandingan pengambilalihan kerajaan negeri yang berjaya dimenangi PR pada 2008 yang lalu. “Apabila saya bertemu dengan orang ramai dan rakan-rakan dalam pasukan polis saya, mereka sering bertanyakan tentang ramalan terutamanya apa yang akan jadi jika Pakatan menang Putrajaya,” kata Fauzi semasa berucap pada Himpunan Perdana PAS Bersama Ummah di Ampang pagi ini. “Jawapannya mudah sahaja, saya akan ceritakan kepada mereka apa yang berlaku semasa Pakatan berjaya menang Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan.” Menurut Fauzi, semasa peralihan kuasa berlaku di negeri-negeri tersebut tidak timbul sebarang masalah atau kekecohan yang wujud walaupun pada awalnya terdapat segelintir mereka yang mengepung dan menyerbu pejabat kerajaan negeri sejurus mendapat berita kemenangan tersebut. Kebimbangan PR akan mencetuskan huru-hara atau kekecohan selepas pilihan raya ke-13 tahun ini disuarakan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan membayangkan pelbagai kemungkinan negatif sekiranya mereka tewas dan terlepas Putrajaya ke tangan pembangkang. Tahun lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan jika PR kalah dalam pilihan raya akan datang, Malaysia akan dibanjiri dengan lebih banyak keganasan jalanan melalui demonstrasi awam, termasuk menyalahkan sepenuhnya kepada pemimpin de facto mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut Dr Mahathir, pihak yang kalah seringkali tidak menerima kegagalan mereka dan akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan dipilih rakyat. Beliau juga berkata pembangkang sudah mula menyiapkan pentas bagi huru-hara, menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia melalui kumpulan pro-PR bangkit dan menolak keputusan pilihan raya sekiranya BN mengekalkan Putrajaya. Walaubagaimanapun, senario sebaliknya yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini apabila kebanyakan majlis ceramah dan program anjuran PR sering diserang oleh kumpulan pro-kerajaan, namun kebanyakannya dapat dikawal dan diredakan dengan bantuan pasukan polis ditempat kejadian. Antara insiden yang berlaku antara kedua-dua parti lawan ialah insiden baling batu, cermin kereta pecah, hadirin dibelasah dan bas rombongan PKR yang disimbah dengan cat merah. Menjelang PRU yang akan diadakan tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merayu agar pengundi memberikan mandat baru kepadanya untuk meneruskan dasar reformasi yang boleh merangsang Malaysia ke hadapan dan lebih baik walaupun mengakui kelesuan parti itu dan gabungan pemerintah BN itu ke arah perubahan. Najib berkata mandat besar diperlukannya jika Malaysia mahu meningkat dalam ekonomi global untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Di samping itu, Najib juga mengakui bahawa BN dan parti utama, Umno kurang popular sejak tahun kebelakangan ini disebabkan kelemahan tetapi menggesa pengundi memberinya peluang untuk membuat perubahan yang diperlukan. Hampir 13 juta pengundi layak untuk membuang undi mereka jika pilihan raya umum dipanggil melibatkan 222 kerusi persekutuan dan 505 kerusi di 12 negeri. Oleh Md Izwan http://my.news.yahoo.com/bekas-pengarah-jsj-ramal-keadaan-aman-jika-pr-122654542.html
Datuk Fauzi Shaari