24 Januari 2013

Suami ratapi kematian isteri, dua anak akibat dihempap lori 10 tan

MUAR – Isteri dan dua anak kepada seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri terbunuh dalam satu kemalangan ngeri di Batu 14, Jalan Muar-Ayer Hitam berhampiran Bukit Naning dekat sini semalam. Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, mangsa Ngaisah Redzuan, 46, yang merupakan seorang guru dan dua anaknya, Mohd. Nurullah Al-Azim Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea Ghazali, 10, meninggal dunia di tempat kejadian. Tubuh tiga beranak itu berkecai apabila kereta Proton Persona yang dipandu Ngaisah dihempap tiang dan bahan binaan konkrit setelah sebuah lori seberat 10 tan yang sarat membawa muatan tersebut hilang kawalan lalu terbalik. Lori berkenaan yang datang dari arah Ayer Hitam menghala ke Muar pada mulanya cuba memintas kereta mangsa yang ketika itu sedang membelok ke kiri untuk masuk ke kawasan rumahnya. Malangnya, lori terbabit tiba-tiba hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan keseluruhan muatan konkrit berkenaan bertaburan dan menghempap kereta mangsa. Lebih memilukan kejadian tersebut berlaku di hadapan rumah mangsa ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Bukit Naning yang merupakan tempat Ngaisah mengajar. Dua anaknya juga bersekolah di situ.
MUHD. GHAZALI meratapi kematian isteri dan duaanaknya yang terlibat dalam kemalangan ngeri berhampiran Bukit Naning, Muar semalam.
Lokasi kejadian menunjukkan keadaan kereta yang tertimbus di bawah lapisan konkrit.
Kerja-kerja menyelamat dan memindahkan konkrit menggunakan bantuan dua jentera forklift.
Ghazali yang kesedihan cuba ditenangkan ahli keluarganya.
Ghazali meratap sambil memeluk salah seorang anaknya yang terkorban dalam nahas ngeri itu.