08 Januari 2013

Amanat Hadi: Hadi perlu diberi peluang

SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu diberi peluang muncul di kaca televisyen untuk menjelaskan isu Amanat Haji Hadi, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah. “Ini cerita lama, sama ada dia menarik balik ataupun tidak, kita telah lama tidak memperkatakannya,” katanya, semalam. Saifuddin berkata, kini, apa yang lebih penting ialah untuk membincangkan bagaimana menterjemahkan Islam dalam menghadapi cabaran-cabaran dan realiti baru seperti teknologi maklumat dan media sosial, kesedaran dan gerakan sosial baru serta demokrasi fasa ketiga. “Kita perlu membangunkan pemikiran baru mengenainya. Ini memerlukan diskusi bentuk baru, bukannya mengungkit perkara lama,” katanya. Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, Abdul Hadi tidak perlu bimbang memberikan penjelasan mengenai isu tersebut kerana terdapat banyak saluran lain, seperti di internet dan media alternatif. “Abdul Hadi tidak perlu mencari kesalahan kerajaan sahaja. Tidak timbul perlu siaran secara langsung atau tidak untuk penjelasan Amanat Hadi itu,” katanya. WARTAWAN SINAR HARIAN 7 Januari 2013 http://www.sinarharian.com.my/nasional/amanat-hadi-hadi-perlu-diberi-peluang-1.118806?localLinksEnabled=false
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah
PresidenPAS Datuk Seri AbdulHadi Awang