24 Disember 2012

Penyakit diabetes ancaman baru golongan muda di negara ini

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Seramai 300,000 golongan muda di negara ini didapati menghidapi penyakit diabetes melitus jenis 2 atau dikenali sebagai ''T2DM'', kata Pakar Endokrinologi Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Wan Mohamad Wan Bebakar. Beliau berkata jumlah penghidap golongan muda itu dikhuatiri akan meningkat sejajar dengan jangkaan peningkatan penghidap T2DM di seluruh dunia dari 230 juta kepada 440 penghidap menjelang 2030. Katanya pertambahan bilangan penghidap muda T2DM bermakna risiko berdepan komplikasi penyakit itu pada usia yang lebih muda juga adalah tinggi. "Hakikatnya, 20.8 peratus dari rakyat Malaysia ketika ini adalah penghidap T2DM. Apa yang kami khuatiri ialah jumlah penghidap muda yang berusia dalam lingkungan 20-25 tahun meliputi lima peratus dari jumlah itu. "Bilangannya adalah lebih besar jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat yang hanya mempunyai dua peratus golongan muda menghidapi penyakit itu," katanya dalam kenyataan sempena pelancaran Kombiglyze Yze Xr, sejenis tablet baru untuk merawat T2DM. Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaaan 2011, beliau berkata seorang dari lima penduduk di negara ini menghidapi diabetes dan Malaysia merupakan negara yang mempunyai penghidap diabetes dan pradiabetes tertinggi di Asia Tenggara. Mengenai tablet baru untuk rawatan T2DM yang sudah digunakan secara meluas di Amerika Syarikat, Wan Mohamad berkata ia boleh digunakan untuk rawatan penyakit dengan prespkripsi sekali sehari. "Diabetes jenis ke-2 merupakan penyakit kencing manis yang kronik dan pantas merebak jika tidak dikawal. "Dalam tempoh masa tertentu, penghidapnya seringkali terpaksa mengambil pelbagai jenis ubatan lain bagi merawat komplikasi yang timbul akibat penyakit ini," katanya. Sementara itu, Pakar Endokrinologi Sime Darby Healthcare, Prof Dr SP Chan berkata apa yang lebih memburukkan keadaan adalah apabila lebih separuh dari penghidap T2DM seringkali gagal mengawal kadar gula dalam darah mereka. "Walaupun pesakit dibekalkan dengan maklumat mengenai diabetes serta ubatan secara berterusan, kurang separuh daripada mereka yang mampu mengawal paras gula dalam darah untuk berada pada paras terkawal," katanya dalam kenyataan yang sama. Beliau juga berkata bagi kesan jangka panjang, pesakit biasanya akan berdepan dengan pelbagai komplikasi penyakit kronik seperti kerosakan jantung dan buah pinggang. Bernama Media – Sat, Dec 22, 2012 / http://my.news.yahoo.com/penyakit-diabetes-ancaman-baru-golongan-muda-di-negara-083445772.html