24 Disember 2012

Mahfuz cabar Putrajaya tangguh operasi AES

KUALA LUMPUR, 22 Dis — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mencabar Putrajaya untuk menangguhkan operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu lalu mengeluarkan kenyataan menangguh prosedur mahkamah, walaupun saman akan terus dikeluarkan. Menurut ahli parlimen Pokok Sena itu, kerajaan seolah-olah mahu menyembunyikan apa yang berlaku dalam perjanjian antara kerajaan dan dua syarikat pemegang konsesi untuk kamera AES, Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. “Ini adalah satu permainan politik di mana Pejabat Peguam Negara ditunggangi oleh Umno dan BN (Barisan Nasional). “Apabila Peguam Negara telah membuat kenyataan untuk menangguh prosiding mahkamah, apa pula pendirian kerajaan? “Apa pendirian kerajaan mengenai AES? Jadi, saya mencabar kerajaan untuk menangguh operasi AES, dan bawa isu ini ke meja perundingan,” kata Mahfuz (gambar) lagi. Mahfuz berkata, Peguam Negara harus menjelaskan kepada rakyat bahawa mereka yang disaman tidak perlu ke mahkamah, seterusnya membatalkan saman tersebut. “Peguam Negara perlu jelas untuk mengatakan OKS (orang kena saman) tidak perlu hadir di mahkamah. “Apakah OKS yang disaman selepas pengumuman Peguam Negara mengenai AES perlu menghadiri mahkamah kerana saman dah dikenakan ke atas mereka? “Mereka akan serba salah untuk ke mahkamah, jika tidak hadir, apakah tindakan mahkamah untuk menangkap mereka, tetapi apa guna jika mereka ke mahkamah tetapi prosedur tidak dijalankan, ini hanya membuang masa mereka sahaja,” katanya dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti hari ini. Pada Selasa lalu, AGC mengarahkan semua prosiding mahkamah berkaitan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dibekukan untuk mengkaji isu perundangan yang dibangkitkan. Kenyataan AGC itu dikeluarkan selepas rungutan pelbagai pihak terhadap AES yang sudah mengeluarkan hampir 300,000 saman sejak ia dimulakan pada 23 September lalu. Kenyataan itu turut menyebut saman AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah, bagaimanapun pihaknya mengambil berat beberapa perkara undang-undang dan teknikal yang ditimbulkan berikutan pelaksanaan saman tersebut. Projek swasta bernilai RM700 juta bermula pada bulan September dengan 14 kamera fasa percubaan tetapi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikrar untuk melancarkan sebanyak 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya. Pihak polis yang menguatkuasakan undang-undang hadlaju, berkata mereka akan meneruskan penguatkuasaan dan meletakkan perangkap kelajuan mudah alih berhampiran kamera AES, meningkatkan prospek denda dua kali bagi pemandu ingkar. Mahfuz juga berkata Kabinet kini takut dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha. “Adakah seluruh Kabinet kerajaan takut dengan seorang Setiausaha Agung MCA? Kenapa takut nak tangguh AES? “Barangkali Kabinet takut dengan (Datuk Seri) Kong Cho Ha,” kata Mahfuz lagi. Pada Selasa lalu, AGC mengarahkan semua prosiding mahkamah berkaitan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dibekukan untuk mengkaji isu perundangan yang dibangkitkan. Kenyataan AGC itu dikeluarkan selepas rungutan pelbagai pihak terhadap AES yang sudah mengeluarkan hampir 300,000 saman sejak ia dimulakan pada 23 September lalu. Kenyataan itu turut menyebut saman AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah, bagaimanapun pihaknya mengambil berat beberapa perkara undang-undang dan teknikal yang ditimbulkan berikutan pelaksanaan saman tersebut. Projek swasta bernilai RM700 juta bermula pada bulan September dengan 14 kamera fasa percubaan tetapi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikrar untuk melancarkan sebanyak 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya. Pihak polis yang menguatkuasakan undang-undang hadlaju, berkata mereka akan meneruskan penguatkuasaan dan meletakkan perangkap kelajuan mudah alih berhampiran kamera AES, meningkatkan prospek denda dua kali bagi pemandu ingkar Oleh Nomy Nozwir / http://my.news.yahoo.com/mahfuz-cabar-putrajaya-tangguh-operasi-aes-051016194.html