27 Disember 2012

Laporan polis atas talian mulai tahun depan

SABAK BERNAM — Bermula tahun depan, orang ramai boleh membuat laporan polis secara atas talian melalui portal laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa perlu ke balai polis, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Beliau berkata, portal laporan atas talian itu kini dalam peringkat akhir penyediaan, diperkenalkan oleh PDRM bagi memudahkan orang ramai membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa itu pada bila-bila masa sahaja. "Ini merupakan satu lagi usaha PDRM untuk memudahkan orang ramai serta menjamin keselamatan mereka. Mereka boleh buat laporan di mana sahaja mereka berada hanya dengan menggunakan Internet," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Kesedaran Jenayah Peringkat Sabak Bernam di sini hari ini. Khalid berkata, portal itu sedang dibangunkan oleh Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan dijangka boleh digunakan bermula tahun depan. Beliau berkata, beberapa perkara juga sedang diteliti termasuk menilai dari aspek perundangan dan keberkesanannya termasuk cara memastikan kesahihah laporan yang diterima.—BERNAMA 27/12/2012 4:53pm / http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_15.htm