04 Disember 2012

Lagi nahas lebuh raya dekat Gopeng, satu maut

Seorang pemandu bas maut manakala 10 penumpang cedera parah dalam kemalangan malam tadi - Foto Bernama
Keadaan bas ekspres Sri Maju yang merempuh belakang lori treler di KM304.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Gopeng tengah malam tadi.

 - Foto Bernama
IPOH – Belum reda insiden yang mengorbankan seorang remaja, lima hari lalu, satu lagi nahas berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, di sini tengah malam tadi membabitkan sebuah bas ekspres dan treler serta menyebabkan seorang pemandu bas ekspres maut. Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, mangsa, Abdul Rahim Musa, 57, maut di tempat kejadian selepas bas yang dipandunya membawa 13 penumpang merempuh bahagian belakang sebuah treler muatan air minuman. Insiden yang berlaku di Kilometer 304.6 itu turut mengakibatkan 10 penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, cedera. Mangsa yang berasal dari Jalan Hospital, Ipoh mengalami kecederaan di kepala dan dada akibat tersepit di bahagian tempat duduk. Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, hasil siasatan awal mendapati, bas yang dipandu di lorong perlahan itu secara tiba-tiba merempuh treler yang turut berada di lorong sama menyebabkan kenderaan remuk teruk di bahagian depan. Menurutnya, anggota Bomba dan Penyelamat Gopeng dengan bantuan bomba Tapah diketuai Peguasa Bomba Kanan II, S Ganasan terpaksa menggunakan alat keselamatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga kira-kira jam 1 tengah hari tadi. “Sementara 10 penumpang yang cedera termasuk seorang parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya. Beliau berkata, buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan pemandu treler, semua keterangan penumpang yang terselamat sudah direkodkan. akhbar sinar harian ROSDALILAH ZAHARI 4 Disember 2012