02 Disember 2012

Ketulenan kad UNHCR diragui

MOHD FIRDAUS YON 30 November 2012
Anggota penguatkuasa ketika membuat pemeriksaan. KOTA TINGGI - Seramai 21 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar berusia antara 3 hingga 51 tahun ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops 6P di Kampung Makam, di sini, awal pagi semalam. Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Nasir Abas berkata, serbuan jam 2 pagi itu disertai 30 anggotanya dan seramai 30 pendatang asing diperiksa. “Sasaran adalah rumah kediaman warga asing di mana mereka tinggal di negara ini tanpa pas atau permit. “Hasil pemeriksaan ke atas 30 warga Myanmar ini, 21 daripadanya tidak memiliki sebarang pas dan permit. “19 daripada yang ditahan merupakan lelaki selebihnya adalah seorang wanita dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam. Mohamad Nasir berkata, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. “Kebanyakan daripada mereka memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), tetapi diragui ketulenannya memandangkan terdapat beberapa ejaan yang salah tercatit di belakang kad berkenaan. “Kesemua yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk tindakan lanjut,” katanya.