23 Disember 2012

Kereta rentung langgar bas ekspres

CHUKAI: Sungguh memilukan apabila empat beranak rentung selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 126.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, depan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasik, dekat sini, awal pagi tadi. Kemalangan menyayat hati itu itu meragut nyawa seorang guru, Sabirin Sulaiman, 45, dan isterinya, Halina Saif @ Saib, 40, serta dua anak mereka, Siti Aisyah, 14, dan Siti Khatijah, 12. Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, empat beranak itu terperangkap di dalam kenderaan selepas kereta Kia Sephia yang mereka naiki bertembung dengan bas Ekspres Budaya, kira-kira jam 1.30 pagi sebelum kenderaan mereka terbakar dan seterusnya membakar bas ekspres terbabit yang dinaiki lapan penumpang. Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki keluarga terbabit dari arah Kemaman ke Dungun dikatakan gagal dikawal sebelum memasuki laluan kanan jalan. Berikutan itu katanya, kereta terbabit dikatakan bertembung dengan bas ekspres yang datang dari arah bertentangan sebelum kereta itu diseret bas terbabit kira-kira 30 meter sehingga ke kaki lima jalan. Katanya, pertembungan itu menyebabkan kereta dinaiki keluarga malang terbabit terbakar sebelum api itu menyambar dan membakar hampir keseluruhan bas ekspres terbabit yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Melaka. Menurutnya, jalan di lokasi kemalangan bukanlah disenaraikan sebagai laluan berbahaya dan kereta terbabit dipercayai memasuki laluan bertentangan berikutan cuaca ketika itu hujan renyai. "Saya menasihati kepada semua pemandu supaya lebih berhati-hati terutamanya dalam keadaan cuaca yang sering hujan lebat menyebabkan air bertakung di atas jalan," katanya sambil memberitahu kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian. Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Rozlan Seman berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh serta Kemaman bersama tiga jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang ramai sebelum melancarkan operasi memadam kebakaran kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu. Katanya, bomba terpaksa memadam keseluruhan kedua-dua kenderaan terbabit sebelum melancarkan kerja-kerja mengeluarkan kesemua mangsa yang rentung dalam kenderaan terbabit. Oleh Rosli Ilham / metro ahad
keadaan bas dan kereta yang terbabit kemalangan sehingga mengorbankan empat beranak semalam.