05 Disember 2012

Dr Hasan bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan: SPA

2012/12/05-16:39:18PM PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman yang diturunkan satu gred susulan kes khalwat bulan lalu, kini bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam. Menjawab status Dr Hasan yang menjadi tanda tanya, beliau berkata, Mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 26 November lalu memutuskan untuk menggantung kerja Dr Hasan sebagai ketua pengarah kesihatan berkuat kuasa 14 November lalu. "Dr Hasan digantung kerja dan sejak itu beliau bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan. Namun, beliau masih seorang penjawat awam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Isnin lalu, dalam satu kenyataan, Mahmood berkata, mesyuarat SPA memutuskan Dr Hasan yang juga Pegawai Perubatan Gred Utama Turus II, Kementerian Kesihatan itu diturunkan pangkat ke satu gred yang lebih rendah daripada jawatan yang disandang sekarang dan ia dibuat mengikut Peraturan 33(1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Sementara itu, Mahmood berkata, Dr Hasan belum mengemukakan surat rayuan atau persaraan awal berikutan penurunan pangkat beliau. "Kalau beliau (Dr Hasan) mahu merayu atau bersara awal, beliau kena membuat permohonan melalui Kementerian Kesihatan," katanya. Pada 14 November lalu Dr Hasan, 56, dan pasangannya, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, juga petugas kementerian, masing-masing didenda RM3,000 dan RM2,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya di sini, pada 2.18 pagi hari sama. - BERNAMA