17 November 2012

Hisham pangku tugas KP Kesihatan

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar) akan menjalankan tugas-tugas Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman sebagai Ketua Pengarah (KP) Kesihatan untuk sementara waktu sehingga satu keputusan rasmi dibuat mengenainya. Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Kamarul Zaman Md. Isa berkata, pelantikan Noor Hisham dibuat ekoran penggantungan tugas Hasan selepas beliau terlibat dalam kes khalwat baru-baru ini. Menurutnya, pihak kementerian telah menerima secara rasmi keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya berhubung kes khalwat yang melibatkan Hasan pada 16 November lalu. “Pelantikan itu selari dengan peruntukan yang digariskan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) P.U(A) 395/1993 terhadap mana-mana pegawai awam yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan bahawa Hasan yang ditangkap berkhalwat dengan seorang jururawat berstatus isteri orang dan diarahkan membayar denda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut. Hasan telah didakwa berkhalwat dengan seorang pegawai wanita di kementerian sama, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, di sebuah bilik Hotel Pullman di sini pada pukul 2.18 pagi Rabu lalu. Wan Syarifah pula didenda sebanyak RM2,900 selepas kedua-dua mereka mengaku salah atas tuduhan tersebut. Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata, sebarang bentuk tindakan yang akan dikenakan ke atas Hasan bergantung kepada laporan yang dikemuka kementerian tersebut. “Sehingga waktu ini, kami belum menerima apa-apa daripada kementerian itu,” katanya pada sidang media sebelum menandatangani memorandum persefahaman antara SPA dan agensi pekerjaan Kayell Sdn. Bhd. di sini semalam. Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR luqman.ridhwan@kosmo.com.my